Dancing Text

Friday, July 24, 2009

Sistem Kepercayaan Dan Agama

Setiap manusia di dunia ini boleh dikatakan mempunyai kepercayaan kepada agama. Menurut kamus, agama bermaksud “segenap kepercayaan kepada tuhan atau dewa-dewi serta dengan kewajipan-kewajipan yang bertalian dengan kepercayaan itu”. Agama mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan ajaran. Dengan kepercayaan kepada agama, manusia sanggup berkorban untuk mempertahankan agama mereka. Kesemua agama pada amnya menyampaikan ajaran yang baik seperti disiplin diri, keamanan serta kebaikan. Terdapat jenis kepercayaan iaitu agama yang berunsurkan kepercayaan ketuhanan dan agama kebudayaan yang berkembang daripada falsafah bangsa-bangsa yang menganutinya.

Islam
Agama Islam disebarkan di Tanah Arab kira-kira 1400 tahun dahulu. Sebelum kedatangan Islam, orang Arab menganut pelbagai agama dan kepercayaan. Mereka dikenali sebagai masyarakat Jahiliah. Agama Islam diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad di Gua Hira pada tahun 610M. Ajaran agama Islam ini mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy di Mekah. Mereka menentang ajaran agama Islam kerana mereka masih berpegang teguh kepada amalan dan kepercayaan nenek moyang dan penyembahan berhala.
Dua aspek penting yang terkandung dalam agama Islam ialah :
a. Akidah – kepercayaan manusia terhadap Allah
b. Syariah – undang-undang dan hokum Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah (Hadith)
Al-Quran ialah sabda-sabda Allah yang suci dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad dan Sunnah ialah sabda-sabda Nabi Muhammad yang ditulis secara mutawatir dalam al-Quran.
Ajaran Islam berasaskan 5 Rukun Islam dan 6 Rukun Iman iaitu :
Rukun Islam
a. Syahadah – mengucapkan 2 kalimah syahadah iaitu : tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
b. Solat – menunaikan sembah 5 waktu sehari semalam
c. Zakat – orang Islam diwajib memberi zakat kepada orang yang miskin
d. Puasa – mewajibkan berpuasa pada bulan Ramadan
e. Menunaikan fardu haji ke Mekah bagi orang yang mampu
Rukun Iman
a. Percaya kepada Allah
b. Percaya kepada Malaikat
c. Percaya kepada Kitab-kitab Allah
d. Percaya kepada nabi dan rasul
e. Percaya kepada hari kiamat
f. Percaya kepadaqadak dan qadar
Agama Islam akhirnya tersebar luas ke Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah.

Buddhisme
Agama Buddha adalah berdasarkan ajaran Siddharta Gautama. Gautama ialah seorang putera raja yang dilahirkan di Kapilavastu pada tahun 563SM. Gautama dibesarkan di istana sebagai seorang yang beragama Hindu. Baginda berkahwin dengan sepupunya Yasodhra dan hidup dalam penuh kemewahan dan kebahagiaan. Tetapi baginda tidak berasa gembira dengan kehidupan yang mewah itu. Semasa berusia 29 tahun, Gautama menyaksikan kelaparan, kesakitan dan kematian. Baginda berasa terharu menyaksikan keadaan hidup manusia itu. Baginda ingin tahu mengapa manusia menderita dan ingin mencari jalan untuk mengatasi masalah-masalah itu.
Gautama telah meninggalkan keluarganya dengan memakai jubah kuning seperti seorang petapa dan mengembara untuk mencari jawapan tentang erti hidup yang sebenarnya. Baginda telah mengkaji kitab suci Hindu iaitu Veda dan Upanishad, bertapa beberapa hari dengan berpuasa hingga hampir kebuluran dan menanggung penderitaan. Namun demikian, baginda tidak dapat mencari kebenaran kepada penderitaan manusia. Baginda akhirnya berjaya mendapat kebenaran atau pencerahan agung yang dicarinya setelah bertapa selama 45 hari di bawah pokok Bo di Boghgaya, berhampiran dengan Benares. Pada suatu malam purnama, Gautama telah menerima pengetahuan daripada tuhan dan mengetahui jawapan bagi masalah kehidupan dan kematian manusia. Hari ini dikenali sebagai Hari Wesak. Mulai hari itu, baginda digelar Buddha yang bermakna Penyinar Cahaya. Buddha kemudian mengembara ke seluruh India untuk menyebarkan ajarannya. Buddha mengasaskan satu pertubuhan sama bernama Sangha. Sami-sami yang memasuki Sangha mencukur rambut dan memakai jubah kuning yang menandakan mereka telah bebas daripada segala hal duniawi. Selepas mengembangkan ajaran-ajaran selama 45 tahun, Buddha meninggal dunia pada tahun 483SM semasa berusia 80 tahun.
Ajaran-ajaran Buddha dijadikan sebagai agama dan dibukukan dalam Bahasa Pali oleh pengikut-pengikutnya yang setia. Empat Kebenaran Mulia yang didapati di bawah Pokok Bo menjadi asas agama Buddha. Empat Kebenaran Mulia merangkumi perkara berikut :
a. Hidup ini penuh dengan kesengsaraan dan penderitaan, iaitu semua yang hidup harus menghadapi umur tua, penyakit dan mati.
b. Manusia mendeirta kerana nafsu untuk memperoleh kekayaan dan keseronokan untuk keselesaan hidup.
c. Manusia patut menghapuskan nafsunya untuk melepaskan diri daripada kesengsaraan.
d. Cara untuk menghapuskan kesengsaraan dan mengatasi nafsu ialah dengan mengikut Jalan Lapan Lapis.
Jalan Lapan Lapis atau Jalan Pertengahan menjadikan seseorang mengawal fikiran dan membentuk tingkah laku yang baik. Jalan Lapan Lapis menjadi teladan bagi pengikut-pengikutnya. Hokum-hukumnya ialah :
a. Pengetahuan yang baik
b. Pemikiran yang baik
c. Keinginan yang baik
d. Kelakuan yang baik
e. Kehidupan yang baik
f. Perkataan yang baik
g. Usaha yang baik
h. Pertapaan yang baik
Jalan ini mencadangkan jalan tengah untuk mencapai hidup yang baik dengan mengamalkan jalan yang suci seperti yang berikut :
a. Bersedekah
b. Mencari ilmu pengetahuan dan kesucian
c. Mengelakkan diri daripada membunuh, menipu, berzina dan mencuri
Selain itu, agama Buddha juga menerima beberapa kepercayaan seperti Nirvana, kelahiran semula dan karma daripada agama Hindu. Matlamat Buddha ialah pencapaian Nirvana, iaitu tahap kebahagiaan yang kekal dan tidak dilahirkan semula selepas beberapa kelahiran. Buddha juga menentang 2 kepercayaan terutamanya kedudukan istimewa Brahmin dalam masyarakat. Ajaran asal Buddha dipanggil Hinayana. Ajaran ini diubahsuai dan dipindahkan menjadi Mahayana.
Agama Buddha ini telah menyebar ke rantau Asia Tenggara, Asia Timur dan sebagainya. Menjelang abad ke-19, negara-negara yang menjadikannya agama rasmi ialah Thailand, Indo-China dan sebagainya.

Kristian
Agama Kristian bermula di Palestin kira-kira 2000 tahun dahulu. Menurut orang Kristian, pengasasnya ialah seorang daripada keturunan Bani Israel yang bernama Jesus Christ iaitu Nabi Isa. Nabi Isa dilahirkan di Bandar Bethlehem di selatan Palestin. Semasa berusia 30 tahun Nabi Isa menerima wahyu daripada tuhan dan kemudian menyebarkan ajarannya. Beliau menggunakan cerita-cerita mudah (parables) yang mempunyai nilai-nilai moral. Beliau dikatakan mempunyai kuasa mukjizat untuk menyembuh orang yang sakit dan cacat, memulihkan penglihatan orang buta dan menghidupkan orang yang mati.
Ajaran Nabi Isa mendapat tentangan hebat daripada paderi dan pembesar Bani Israel. Mereka berasa iri hati kerana Bani Isa menjadi seorang yang termasyhur dan mempunyai banyak pengikut. Mereka membuat rancangan untuk menghapuskan Nabi Isa. Atas tuduhan menyebarkan agama palsu (bidaah) dan mendakwa dirinya sebagai anak tuhan, Nabi Isa dihukum salib sampai mati pada 33M. Menurut kepercayaan Kristian, Nabi Isa telah bangkit semula selepas 3 hari dan dinaikkan ke syurga. Ajaran Nabi Isa disebarkan oleh pengikutnya di seluruh Empayar Rom tetapi mendapat tentangan hebat daripada maharaja Rom seperti Pontius Pilate. Walau bagaimanapun, Maharaja Rom, Constantine telah memeluk agama Kristian pada 323M. Tindakannya menyebabkan penyebaran agama Kristian dengan luas.
Ajaran Kristian menekankan unsur-unsur kasih saying dan pengampunan antara manusia. Nabi Isa memberitahu pengikut-pengikutnya “kamu hendaklah mengasihi jiran kamu dan juga musuh kamu. Doakan mereka yang mengecam kamu dan mereka yang melakukan tindakan buruk terhadap kamu”. Prinsip asas dalam agama Kristian ialah cintailah Tuhan dengan sepenuh ragamu dan cintailah jiranmu seperti kamu mencintai dirimu sendiri. Ajaran agama Kristian percaya bahawa pengikut-penigkutnya yang mengamalkan ajaran ini akan menikmati kesempurnaan hidup di akhirat. Ajaran Nabi Isa terkandung dalam kitab suci Kristian yang dipanggil Kitab Injil (Bible).

Hinduisme
Agama Hindu ialah agama yang utama dan tertua di dunia. Ia bermula di India lebih kurang 3000 tahun dahulu. Perkataan Hindu berasal daripada perkataan Sindhu, iaitu tempat permulaan tamadun di Lembah Sungai Indus. Agama ini merupakan campuran kebudayaan dan kepercayaan orang Aryan dan orang Dravidia. Bahasa Sanskrit dan Bahasa Tamil memainkan peranan utama dalam perkembangan agama Hindu.
Agama Hindu berkembang daripada falsafah orang India (Thirukkural) oleh 'Thiruvalluvar'dimana ia menceritakan cara-cara untuk menjaga disiplin diri dan hidup bahagia dalam khalayak ramai serta bagaimana seseorang itu harus mengawal diri dalam sesuatu perkara dan bagaimana tindakkannya dalam sesuatu perkara. Oleh itu, Hinduisme lebih berbentuk cara kehidupan daripada agama. Agama Hindu tidak mempunyai pengasas dan tidak mempunyai sebuah kitab suci. Walau bagaimanapun, sesetengah penganut Hindu menganggap Bhagavadgita dan Thirukkural sebagai kitab suci. Ia mengandungi nyanyian-nyanyian dewata (Bhajans) dan mengajar tentang cara-cara kebahagiaan dan ketinggian hidup manusia. Pengajar agama Hindu dikenali sebagai Nyanmar dan Alwar(Terdapat 60 orang lebih dalam warisan tersebut yang memperkembangkan kepercayaan dan agama ini) . Orang Hindu percaya kepada jelmaan tuhan. Oleh itu, mereka menyembah kepada ramai dewa dan juga dewi. Pada mulanya mereka menyembah kepada dewa Agni (Dewa Api), Surya (Dewa Matahari) dan Indra (Dewa Peperangan). Lama-kelamaan, mereka menyembah 3 orang dewa jelmaan yang digelar Trimurti (3 jelmaan) yang mempunyai peranan tertentu iaitu Brahma (Dewa Pencipta), Vishnu (Dewa Pelindung) dan Siva (Dewa Pemusnah). Berdasarkan kepercayaan tuhan tersebut telah wujud 2 mazhab yang terpenting dalam agama Hindu iaitu Mazhab Saivisme dan Mazhab Vaishnavisme.
Orang Hindu juga percaya kepada Hukum Karma, kelahiran semula selepas mati :
Orang India percaya bahawa roh seseorang tidak akan mati bersama-sama jasadnya tetapi masuk ke dalam jasad yang lain dan dilahirkan semula untuk memulakan kehidupan yang baru.
a. Jenis kehidupan ini ditentukan oleh Hukum Karma.
b. Karma dalam Bahasa Sanskrit bererti tindakan dan hasil-hasilnya. Oleh itu, karma ialah tingkah laku seseorang pada masa hidupnya dan menerima hasil pada hidup akan datang mengikut sama ada karmanya baik atau buruk.
c. Jika seseorang itu membuat kebaikan dan menyembah tuhan, ia akan dilahirkan kembali ke dalam keluarga yang lebih berada untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
d. Jika seseorang itu terus berkelakuan baik, ia akan terus meningkatkan tarafnya sehingga ia tidak boleh dan tidak perlu dilahirkan semula.
e. Rohnya akan mencapai Moksha atau Nirvana.
f. Ini bermakna rohnya akan bersatu dengan tuhan dan tidak akan lahir semula ke dunia.

Confucianisme
Confucius ialah seorang ahli falsafah China yang terkenal pada Dinasti Chou. Beliau berasal dari keluarga Lu di wilayah Shangtung, dimana tempat beliau dilahirkan. Nama sebenarnya ialah Kung Fu Tze. Beliau mahir tentang Li iaitu susunan tingkah laku yang baik. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 479SM semasa berusia 72 tahun. Semua ajarannya telah dibukukan oleh pengikut-pengikutnya.
Confucianisme tidak dianggap sebagai satu agama yang berunsurkan ketuhanan tetapi merupakan prinsip-prinsip hidup yang baik. Confucianisme berasaskan ajaran Confucius dapat dirumuskan dalam konsep Jen yang menekankan perasaan perikemanusiaan terhadap orang lain dan harga diri. Apabila Confucius disoal pengikutnya tentang makna perikemanusiaan, dia menjawab “kebolehan mengamalkan 5 kebaikan di merata dunia adalah kemanusiaan. Kebaikan itu ialah budi bahasa, amanah, kerajinan dan sifat baik”.
Ajaran Confucius dikumpulkan oleh pengikut-pengikutnya dalam bentuk buku yang bertajuk Lun Yu atau Analekta. Dua orang pengikutnya yang terkenal ialah Hsun Kuang dan Meng Tze (Mencius). Confucius merupakan orang pertama di China yang cuba menulis sejarahnya dengan lebih sistematik. Beliau juga menulis sebahagian daripada 5 klasik yang dihasilkan pada zaman Chou. Klasik-klasik ini terdiri daripada :
a. Book of Odes (Shih Ching)
b. Book of History (Shu Ching)
c. Book of Rites (Li Chi)
d. Book of Changes (I Ching)
e. Sping Ang Autum Annals (Chun Ching)
Ajaran Confucius tidak mempunyai pengaruh ke atas budaya Asia Tenggara seperti agama Hindu dan Buddha. Ia cuma mempunyai kesan yang mendalam ke atas masyarakat China.
Ajaran Confucius adalah berkenaan dengan Li atau rukun bangsa. Antaranya ajaran Confucius ialah bagaimana keamanan dan kepatuhan boleh dibawa kepada negaranya. Dalam ajaran Confucius, terdapat 5 jenis perhubungan baik yang menetapkan peranan individu dalam masyarakat iaitu :
a. Pemerintah dengan rakyat
b. Ibu bapa dengan anak
c. Suami dengan isteri
d. Abang dan adik
e. Kawan dan kawan
Menurut beliau setiap individu mempunyai tugasan dan tanggungjawab terhadap pihak lain. Sekiranya setiap tanggungjawab dipatuhi, masyarakat serta negara akan bersatu, tenteram dan harmoni. Beliau menegaskan bahawa seseorang anak harus menghormati ibu bapa mereka dan juga harus menjaga ibu bapa apabila mereka sudah tua. Dari segi ibu bapa pula, beliau mengatakan bahawa kasih saying patut diberi kepada anak-anak mereka termasuklah membimbing dan mendisiplinkan anak. Seseorang juga harus menjaga negerinya, negeri adalah disamakan dengan sebuah keluarga yang besar.
Dari segi politik pula, Confucius menganggap raja yang jujur dan adil adalah seorang raja yang dapat disanjung tinggi. Rakyat perlu hormat dan taat setia kepada kerajaan. Confucius menegaskan bahawa raja adalah ketua keluarga dan rakyat adalah ahli-ahli keluarganya. Raja harus memberi contoh dan teladan yang baik kepada rakyat. Dalam sesebuah negara kerajaan harus menimbulkan keyakinan rakyat, rakyat harus dijaga dengan mempunyai pasukan tentera yang kuat. Confucius mengatakan bahawa raja harus melindungi rakyatnya dan harus berperanan sebagai Shang-Ti.
Bagi masyarakat China, mereka sangat mementingkan tradisi dan nilai-nilai murni hasil daripada ajaran Confucius. Beliau menggalakkan pengikutnya memandang ke zaman silam untuk mendapat pengajaran supaya masalah dapat diselesaikan. Beliau yang mewujudkan confucianisme juga mementingkan penyembahan nenek moyang.
Meng Tze, pengikut Confucius telah menambah ajaran tentang pemerintah kerajaan. Raja yang zalim boleh digulingkan kerana Tuhan akan memberi restu kepada rakyat yang ditindas. Selain Meng Tze, Hsun Tzu pula menekankan bahawa manusia pada dasarnya adalah jahat dan raja bertanggungjawab untuk menyekat kejahatan ini dengan merangka undang-undang yang ketat dan hukuman keras kepada pesalah.

Taoisme
Taoisme berasaskan ajaran Lao Tze dan Chuang Tzu. Menurut lagenda, Lao Tze adalah seorang pegawai yang penting di istana Dinasti Chou. Beliau mula menyebarkan falsafahnya selepas meninggalkan jawatannya. Beliau mempunyai ramai pengikut. Lao Tze dianggap oleh pengikut-pengikutnya sebagai nabi bagi ajaran Taoisme.
Ajaran Taoisme terkandung dalam bukunya yang berjudul Tao Te Ching. Ajaran yang terkandung dalam buku ini adalah reaksi terhadap ajaran Confucius. Ajaran Confucius menekankan kepada peraturan sosial seperti dalam keluarga dan negara tetapi ajaran Lao Tze lebih menekankan keharmonian alam semesta. Tao membawa maksud “cara” atau “jalan” bagi mencapai keharmonian alam semesta. Ajaran Taoisme adalah gabungan anarkisme dan kepercayaan bahawa kebenaran di luar fahaman manusia boleh diperolehi dengan cara bersemadi atau tasawuf.
Lao Tze menyarankan supaya manusia menarik diri daripada duniawi dan mencari jalan bahagia secara mengasingkan diri daripada peraturan duniawi dan upacara yang merugikan. Perkara yang ideal bagi pengikut Taoisme ialah manusia harus bebas daripada peraturan ciptaan manusia. Lao Tze menganggap bahawa seseorang tidak seharusnya mementingkan masyarakat pada keseluruhan. Beliau tidak bersetuju dengan konsep kerajaan kerana ia dianggap menghalang perjalanan alam. Menurutnya lagi, penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh negara China adalah dengan kembali ke alam semesta dan menolak tamadun. Bagi penganut Taoisme, kerajaan yang paling berkesan ialah yang paling sedikit memerintah. Mereka menganggap bahawa lebih banyak undang-undang dikenakan keganasan akan timbul dengan lebih giat lagi. Falsafahnya yang mudah difahami dan diminati oleh kalangan penduduk di luar Bandar. Taoisme tidak mendapat sambutan baik daripada kalangan terpelajar dan pegawai-pegawai berfahaman confucianisme.
Penganut-penganut Taoisme memandang hina terhadap perkara-perkara keduniaan. Ajaran Tao menyeru penganutnya supaya jangan mengubah benda-benda semula jadi. Menusia tidak boleh mengubah cara hidup melalui tindakan undang-undang kerana ia menjadikan kehidupan manusia lebih kompleks. Lao Tze mengatakan bahawa perasaan tamak dan nafsu seseorang mendorongnya bertindak dengan kurang bijak dan tidak rasional. Lao Tze mahu mempraktikkan cara penghidupannya di zaman Ho Hsu (zaman dahulu kala) kerana manusia dapat hidup dengan tenteram. Ketenteraman manusia terganggu disebabkan oleh mereka diajar ilmu pengetahuan dan diberi tanggungjawab. Kata-kata Lao Tze “tenangkan diri, kembalilah kepada zaman di mana raja-raja belum wujud lagi”. Ajaran Lao Tze hanya sebuah negeri yang kecil penduduk. Di dalam negeri tersebut tidak ada sebarang bentuk pemerintahan. Penduduknya tidak pernah melawat antara satu sama lain tetapi boleh hidup dengan gembira.
Sumbangan penting Taoisme ialah sami-sami telah membuat banyak perjumpaan dalam bidang perubatan tradisional. Mereka juga mencipta ubat bedil, jarum magnetic dan herba-herba asli.
Taoisme juga membawa pengaruh dalam bidang kesusasteraan dan kesenian masyarakat China. Buku-buku Taoisme yang merupakan koleksi ajaran yang bertulis dalam bentuk sajak menjadi warisan kesusasteraan yang terkenal.

Shintoisme
Shintoisme juga dikenali sebagai “jalan tuhan” merupakan agama asli masyarakat Jepun yang bermula dari zaman silam dan mitos. Ia dianggap sebagai agama yang secara penuhnya dimiliki oleh masyarakat Jepun tanpa mempunyai pengaruh daripada luar. Ajaran ini berkembang daripada tradisi komuniti asli. Sewaktu tahap awal ia wujud dalam bentuk yang paling mudah iaitu tradisi rakyat dan berpusat pada semangat di sekeliling kehidupan masyarakat, kampung dan persekitaran.
Kepercayaan ghaib atau kami ini wujud dalam alam sekitar, pokok, gunung, air, api dan sebagainya. Perkataan kami ini juga sering kali diterjemahkan sebagai Shinto. Kepenitngan agama ini terletak pada sifatnya yang bertujuan membentuk rasa taat setia kepada keluarga diraja dan kepada negara dengan cara memupuk rasa patriotic yang meluap-luap berdasarkan anggpan bahawa negara dan raja-rajanya mempunyai unsur-unsur ketuhanan.

Jainisme
Jainisme merupakan ajaran yang diasaskan oleh Mahavira atau nama lain Vardhmana pada abad ke-6SM. Ia mempunyai benyak persamaan dengan agama Hindu dan Buddha. Agama ini memberi penekanan yang lebih terhadap karma dan samsara. Penganut agama ini biasanya tidak memakan haiwan atau merupakan vegetarian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...